Lelaki hilang di laut ditemui selamat

Inilah mangsa yang ditemui selamat.

Oleh Dean Adam

SARATOK, Mac 9: Seorang lelaki yang hilang di laut ditemui selamat di perairan Saribas di sini hari ini.

Mangsa, Onn Yassar Mohamad Jawarie, 25, dijumpai selamat oleh bapanya sendiri pada pukul 3.10 petang.


Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama (M) Robert Teh Geok Chuan berkata, sebelum itu Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak telah menerima panggilan telefon daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuching memaklumkan terdapat seorang lelaki hilang di perairan Kabong.

Berdasarkan maklumat yang diterima, bapa mangsa memberitahu bahawa anaknya mempunyai masalah iaitu sering berhalusinasi dan bercakap seorang sendiri.

“Mangsa dikatakan telah keluar ke laut dengan menggunakan bot milik bapa saudara beliau dengan nombor pendaftaran SF-2489 seorang diri.

“Di atas laporan yang diterima, Maritim Sarawak telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.27 pagi,” katanya di sini hari ini.

Robert menambah, operasi telah ditamatkan pada pukul 3.40 petang.

“Maritim Sarawak juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang kejadian kecemasan di laut untuk menghubungi 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam,” katanya. -DayakDaily