Oleh Dean Adam
PADAWAN, Okt 26: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah semasa mencari sayur di hutan Kampung Simpok, ditemui selamat awal pagi tadi.
Mangsa, Frederick Anthony, 36, ditemui oleh penduduk kampung dan pasukan bomba sukarela kira-kira pukul 4 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kata Tiong, sebelum itu mangsa dikatakan keluar bersama isterinya ke hutan untuk mencari sayur kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Bagaimanapun, apabila sampai di simpang jalan, isteri mangsa kemudian berpatah balik ke rumah, namun mangsa terus masuk ke dalam hutan.
“Mangsa difahamkan ada membawa telefon, tetapi tidak dapat dihubungi oleh isterinya dan lelaki itu juga dikatakan demam semasa masuk ke dalam hutan.
“Bagaimanapun, mangsa tidak balik ke rumah sehingga pukul 9 malam hingga menyebabkan isterinya mulai risau lalu mengajak penduduk kampung mencari suaminya di dalam kawasan hutan,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan selepas itu berjaya menjumpai mangsa yang ditemui dalam keadaan terbaring dan lemah di kawasan hutan berkenaan.
“Anggota bomba kemudian memberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum diusung keluar dari hutan menggunakan alat pengusung.
“Operasi mencari dan menyelamat tersebut ditamatkan pada pukul 5.31 pagi,” katanya. — DayakDaily