KOTA SAMARAHAN, Mei 17: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas Mitsubisihi Storm yang dipandunya terhumban masuk ke dalam Sungai Samarahan pada Isnin lepas ditemui mati terperangkap dalam kenderaan itu, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, yang menetap di Tabuan Dayak di sini ditemui selepas Mitsubisihi Storm itu berjaya diangkat ke darat.
Jelasnya, mayat mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari kenderaan pacuan empat roda itu pada pukul 3.11 petang.
“Operasi yang memasuki hari keempat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.20 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, selain bomba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu turut dibantu oleh pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan operator feri.
DayakDaily sebelum ini melaporkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berjaya mengesan kedudukan kenderaan mangsa yang dilaporkan terhumban masuk ke dalam Sungai Samarahan pada Isnin lalu.
Hasil operasi selaman unit PPDA juga telah menemui bekas makanan milik mangsa yang disahkan oleh anaknya.
Bagaimanapun, kerja-kerja menyelam oleh PPDA dan operasi SAR ditangguhkan sementara atas faktor keselamatan disebabkan arus yang deras.
Proses penyelaman hanya dilakukan dengan mengambil kira faktor arus yang perlahan ketika peralihan tempoh pasang surut sungai. — DayakDaily