Lelaki ditemui mati di pelantar transformer elektrik di Serian

Anggota Bomba menurunkan mayat mangsa dari lokasi kejadian.

SERIAN, 11 April: Seorang lelaki ditemui mati tersangkut pada pelantar transformer elektrik di Kampung Semungkoi A, Jalan Serian-Sri Aman, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.25 pagi.

katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati keadaan arus elektrik masih aktif dan tidak selamat untuk melakukan tugas-tugas penyelamatan

“Pihak bomba menunggu pihak Sarawak Energy hadir dan mengesahkan keadaan betul-betul selamat baharu kerja-kerja menurunkan mayat mangsa diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untui tindakan selanjutnya.

Sementara Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata indentiti mangsa masih belum dipastikan, namun dipercayai warga tempatan.

“Lelaki ini dipercayai telah menceroboh kawasan transformer berdasarkan pertemuan perakatan seperti pemutar skru, gergaji dan spana.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita menyeru sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga agar datang ke Balai Polis Serian untuk pengecaman mayat,” kata Aswandy dalam kenyataannya berhubung kejadian tersebut.

Difahamkan, kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan. ― DayakDaily