Lelaki ditemui mati dalam kereta, polis klasifikasi kes sebagai mati mengejut

Kelihatan mangsa yang ditemui mati di dalam kereta.
Advertisement

KUCHING, Okt 1: Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta Perodua Viva yang dipandunya di Jalan Sultan Tengah berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 38 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengatakan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak bergerak di dalam kereta Perodua Viva di tepi jalan berkenaan.

Advertisement

Jelasnya, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.

“Sejurus sampai di tempat kejadian, anggota polis mendapati mangsa dalam keadaan tidak bernyawa lagi sebelum mereka memecahkan cermin pintu belakang kereta berkenaan untuk mengeluarkan lelaki berkenaan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan sebelum membawa mayatnya ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Ng menambah, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan di sekitar tempat kejadian.

Katanya, siasatan selanjutnya mendapati mangsa masih bujang dan tidak ada pekerjaan selain mempunyai rekod perubatan menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sawan yang kritikal.

“Malah, mangsa baru-baru ini ada membuat temujanji dan menerima rawatan di HUS pada Sept 12 lepas untuk rawatan susulan penyakit yang dihadapinya.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement