Lelaki ditemui mati atas katil di bilik hotel

Kelihatan pintu bilik hotel yang dipecahkan.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Ogos 17: Seorang lelaki ditemui mati terbaring atas katil oleh pekerja hotel di dalam sebuah bilik premis tersebut di sini petang Khamis.

Mangsa, Chen Keat Choon, 48, dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa pada pukul 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern, yang mengesahkan kes berkenaan, memberitahusebelum itu mangsa dikatakan mendaftar masuk di hotel bajet berkenaan pada Selasa lalu.

Advertisement

Katanya, mangsa sepatutnya mendaftar keluar tengah hari semalam, namun dia gagal berbuat demikian.

“Curiga mangsa tidak mendaftar keluar dari bilik hotel dan gagal dihubungi, pekerja hotel berkenaan kemudian melakukan pemeriksaan di dalam bilik mangsa.

“Disebabkan pintu bilik mangsa berkunci dari dalam, pekerja hotel berkenaan terpaksa memecahkan pintu bilik itu,” katanya hari ini.

Lee menambah, selepas berjaya masuk, pekerja hotel berkenaan terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa lagi di atas katil di dalam bilik hotel itu.

Katanya, siasatan awal polis di hotel tersebut tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai ubat dan buku rekod perubatan mangsa yang menghidap penyakit tuberkulosis (Tibi) dan jangkitan paru-paru.

“Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement