Lelaki ditangkap, disyaki terlibat serang individu tagih hutang darinya

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 8 Feb: Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan khianat ditangkap pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 26 tahun ditangkap di perkarangan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 3 petang .

Menurutnya, kes dilaporkan berlaku pada Sabtu, di mana suspek telah berjumpa dengan mangsa di sebuah kedai minum di Kota Sentosa sekitar jam 3.30 petang.


“Ketika itu mangsa bersama isterinya berjumpa dengan suspek kerana dikatakan ingin menagih hutang.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan telah memanggil kawannya untuk memukul mangsa menggunakan besi dan kayu sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Aidil, kereta milik mangsa juga telah mengalami kerosakkan dalam kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suspek tidak mengaku ada memanggil orang untuk memukul mangsa dan tidak mengaku ada berhutang dengan mangsa.

“Suspek juga mengaku tidak mengenali siapa yang memukul mangsa, malah mendakwa kumpulan yang memukul mangsa bertindak sedemikian kerana mangsa bercakap kasar dan bertindak agresif,” kata Aidil.

Sungguhpun begitu, suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — DayakDaily