Lelaki ditangkap di pusat hiburan di Sibu, disyaki edar dadah bernilai RM22,025

Suspek dan dadah yang dirampas.

SIBU, 16 April: Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah pada Jumaat lepas (14 April).

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek berusia 25 tahun terbabit ditahan semasa serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Pahlawan sekitar jam 10.20 malam.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 50.20 gram.


“Turut dijumpai dan dirampas dari suspek ialah 14 paket plastik bertukis ‘Juice Master’ disyaki dadah jenis ekstasi dianggarkan seberat 579.8 gram,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dedah beliau, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM22,025.

Sementara itu, hasil saringan air kencing juga mendapati suspek yang turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah telah positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — DayakDaily