Lelaki ditangkap bersama lebih 30kg dadah bernilai RM1.26 juta di Jln Stutong Baru

Mohd Azman menunjukkan dadah yang dirampas semasa sidang media tersebut hari ini.

KUCHING, 10 Mac: Seorang lelaki tempatan ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah di sebuah apartmen di Jalan Stutong Baru pada 8 Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata suspek, 37 tahun, itu ditangkap dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuching pada jam 1.05 petang.

Katanya, polis turut merampas 35.486kg dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM1.26 juta.


“Serbuan dan tangkapan dilakukan dengan menahan suspek di dalam sebuah kereta di kawasan kediaman apartmen di Jalan Stutong Baru.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan serbuan telah berjaya menjumpai dan merampas 12 bungkusan seberat 12.447kg disyaki mengandungi dadah jenis syabu di dalam kereta dinaiki suspek,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelasnya, pasukan serbuan berjaya menjumpai 22.676kg lagi dadah jenis syabu di dalam apartmen yang didiami suspek.

“Hasil tindakan susulan tangkapan pertama, dengan dipandu arah suspek telah menjalankan pemeriksaan di kediamannya di sebuah apartmen dan telah menjumpai 22 bungkusan seberat 22.676kg.

“Turut dijumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal seberat 363 gram disyaki syabu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan 15 sebatan.

Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai dua rekod di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan tujuh rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — DayakDaily