Lelaki disyaki ejen loteri haram ditangkap di Bau

Suspek (duduk) semasa pemeriksaan dilakukan oleh pasukan polis di lokasi serbuan.

BAU, 29 Julai: Seorang lelaki ditangkap polis kerana disyaki terlibat aktiviti menjual loteri awam tanpa lesen pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek, 58 tahun, ditangkap dalam Op Dadu di kaki lima sebuah kedai makan di Jalan Datuk Salau Pekan, di sini sekitar jam 2.45 petang.

“Suspek ditangkap kerana disyaki menjalankan aktiviti loteri awam di kaki lima kedai makan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya, turut dirampas daripada suspek ialah satu unit telefon bimbit.

Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Bau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. — DayakDaily