Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan perahu hanyut

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.

BINTANGOR, 20 Sept: Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri lemas di Sungai Muara Payang, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihak menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.41 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Menurut saksi, mangsa ketika kejadian cuba berenang untuk mendapatkan perahunya yang terlepas tali.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba tengelam dan tidak timbul selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan selepas itu, namun masih gagal menjumpai mangsa.

“Operasi pencarian menyusuri hilir Sungai Batang Rajang namun mangsa masih gagal dijumpai.

“Operasi ditangguhkan pada jam 7.13 malam kerana cuaca gelap dan akan disambung semula esok,” katanya.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Aziz Yusuf berusia 43 tahun. — DayakDaily