Lelaki dicekup memuat turun filem lucah, miliki video lucah kanak-kanak

Barangan rampasan ditemui dalam rumah suspek.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Sept 22: Kegiatan seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun memuat turun filem-filem lucah dari internet dan memiliki sembilan DVD dan VCD lucah kanak-kanak (pornografi) terungkai, selepas dia dicekup pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Suspek yang juga sudah berkahwin telah ditangkap dalam satu serbuan sekitar jam 3.30 petang Isnin (September 21) di kediamannya di Jalan Koniffer, Taman Sin Siang Hai, 98100 Lutong, Miri.


Pada awalnya, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak membenarkan pihak Polis masuk membuat pemeriksaan ke dalam rumah.

Rantai pagar hadapan rumah terpaksa dipotong untuk pihak polis masuk ke dalam perkarangan rumah dan setelah berulang kali memberi penerangan kepada suspek barulah sabjek bertenang dan memberi kerjasama.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah kemudian telah merampas beberapa barang kes kerana disyaki mengakses, memiliki gambar dan video lucah(pornografi) kanak-kanak.

Dipercayai, suspek terlibat mengedar dan menjual DVD dan VCD tersebut di sekitar bandar ini sebelum ditangkap.

Dalam serbuan, polis turut merampas beberapa barangan komputer termasuk simkad dan hard disk mengandungi filem-filem lucah yang telah diakses dari internet.

Kesemua barangan yang dirampas termasuk suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.—DayakDaily