Lelaki cedera parah dalam kemalangan kendiri di Bau, disahkan meninggal dunia


BAU, 8 Nov: Seorang lelaki meninggal dunia akibat kecederaan parah di dada selepas terlibat kemalangan kendiri di Kilometer 10 Jalan Bau-Kuching pada malam Ahad (7 Nov).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 20 tahun, berbangsa Lun Bawang dan beralamatkan dari Taman Mutiara, Jalan Jambusan.

Katanya, mangsa semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari arah Kuching dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Taman Mutiara pada jam 8 malam.


“Semasa melalui selekoh, kereta mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke dalan parit.

“Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami cedera patah tulang dada dan kemudian dikejarkan ke Hospital Bau.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Bau.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily