Lelaki 20 tahun rogol pelajar Tingkatan 5 di Simunjan ditahan

Suspek (tangan bergari) dibawa ke lokap IPD Simunjan.

KUCHING, FEB 12: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan polis di Simunjan malam tadi atas dakwaan merogol kenalannya yang juga pelajar Tingkatan 5.

Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Mervin Lisa berkata, suspek ditahan setelah polis menerima laporan daripada mangsa pada 11 Februari.

“Sebelum kejadian, iaitu pada 1 Februari lepas, mangsa yang berada di rumah kawan perempuannya sehingga tengah malam telah meminta bantuan suspek untuk menghantarnya pulang ke rumah.

“Dalam perjalanan, mangsa telah diajak oleh suspek untuk tidur di rumahnya kerana mendakwa hari telah lewat malam.

“Mangsa dan suspek tidur di bahagian ruang tamu dan ketika itulah mangsa telah diajak oleh suspek untuk melakukan hubungan seks tetapi mangsa menolak sehingga suspek memaksa mangsa,” menurut Mervin menerusi kenyataan media ini.

Mangsa yang berumur 16 tahun telah dihantar ke Hospital Serian sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut.

Hasil pemeriksaan, Pegawai Perubatan mengesahkan terdapat kesan koyakan pada alat kemaluan mangsa dan ditahan di Wad HUS untuk rawatan lanjut.

Reman suspek yang juga sepupu kepada kawan perempuan mangsa telah diperolehi selama tujuh hari bermula 12 sehingga 19 Februari 2020.

Suspek ditahan di Lokap IPD Simunjan untuk membantu siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dituduh dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Rogol) yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan juga sebatan.ā€”DayakDaily