Lee: Tidak perlu tergesa-gesa, Perayaan Qing Ming Jie disambut hingga 14 April 2021

Kelihatan Lee (dua dari kanan) semasa lawatan ke Perkuburan Cina Krokop Miri pada Ahad (21 Mac 2021).

KUCHING, 22 Mac: Masyarakat Cina dinasihat untuk tidak tergesa-gesa menziarahi tanah perkuburan menjelang perayaan Qing Ming Jie yang akan disambut pada 4 April ini.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, perayaan tersebut dilanjutkan sehingga 14 April 2021.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memberi kelulusan untuk tempoh masa yang agak panjang bagi perayaan Qing Ming Jie iaitu dari 20 Mac hingga 14 April 2021.


“Ahli keluarga terdekat boleh merancang jangka masa atau selang masa yang berlainan untuk tujuan menziarah tanah perkuburan.

“Berpandukan kepada garis panduan JPBN Sarawak, aktiviti menziarahi tanah perkuburan Qing Ming Jie telah ditetapkan tidak melebihi lapan orang ahli keluarga sahaja.

“Manakala bagi menziarah columbarium atau dewan ‘memorial’ kehadirannya tidak melebihi dua orang ahli keluarga sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian bila ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Perkuburan Cina Krokop Miri pada Ahad (semalam).

Pada kesempatan itu, Lee yang juga Adun Senadin telah menziarahi kubur arwah ibu dan bapanya serta memberi penghormatan kepada mereka sempena Hari Qing Ming.

Beliau ditemani oleh empat ahli keluarganya yang lain sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang dikeluarkan JPBN Sarawak.

Pada tahun lepas aktiviti Qing Ming Jie tidak dapat dilakukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk upacara untuk menghormati nenek moyang di columbarium.

Sementara itu, Lee selaku Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memberitahu tiada wujud kluster Tahun Baru Cina sepanjang sambutan itu berlangsung pada awal tahun ini.

“Tiada sebarang kluster ‘Tahun Baru Cina’ dikesan merupakan hasil kerjasama yang erat daripada masyarakat Cina di Miri dan mematuhi SOP yang ditetapkan JPBN Sarawak.

“Patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan jangan terkeliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh sumber bukan rasmi kerajaan.

“Berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan menjelang perayaan Qing Ming Jie ini,” ujarnya. — DayakDaily