Lee: Miri siap siaga hadapi banjir

Lee (tengah) yang juga penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah Miri menyerahkan 200 set pelitup muka dan pencuci tangan kepada presiden NSJA Andy Jong Wan Joon.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin mengingatkan penduduk di sini supaya berwaspada dengan kejadian banjir kilat yang mungkin berlaku ekoran cuaca luruan monsun ketika ini.

Lee berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan 200 set pelitup muka dan pencuci tangan kepada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) untuk diagihkan kepada para penderma darah di program derma darah yang akan diadakan pada Januari 2 tahun hadapan, petang semalam.


“Penduduk di kawasan berpotensi berdepan risiko banjir kilat perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan di sekeliling mereka, terutama dalam keadaan cuaca yang kerap hujan seperti ketika ini,” kata Lee.

Beliau telah meminta jabatan kerajaan dan agensi kerajaan yang di bawah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Miri membuat persiapan awal sepenuhnya, kerana sekiranya berlaku banjir, pemindahan kecemasan mesti dilakukan dengan segera.

Beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan kerap dinaiki air supaya sentiasa memerhatikan ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan sentiasa berwaspada.

Beliau memberitahu bahawa telah menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Miri pada hari lalu untuk memohon agar sentiasa berwaspada dan menggerakkan Jabatan Pengairan dan Saliran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Miri dan Jabatan Kebajikan Miri membuat persiapan termasuk di kawasan pedalaman Baram yang perlu bersedia 24 jam sehari.

Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan Tudan, Kuala Baram, Kampung Batu Satu dan Permai Jaya di daerah Senadin supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap banjir kilat dan mengambil langkah keselamatan dalam menghadapi ancaman banjir yang mungkin berlaku.

“Kerja-kerja membersihkan pengairan dan saliran baru-baru ini di Sungai Lutong dan anak sungainya yang berdekatan, serta menambah baik saliran muara anak sungai, saya berharap usaha ini dapat membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan kerap banjir berhampiran dan banjir tidak akan berulang,” jelas Lee. — DayakDaily