KUCHING, 17 Jan: Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin akan mendapatkan laporan berhubung status Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Expressway Samarahan daripada agensi pelaksana.
Ini berikutan aduan pengguna jalanraya mengenai kesesakan lalulintas di Kota Samarahan yang terpaksa mengambil masa lebih sejam samada dari Samarahan ke Kuching atau sebaliknya ketika ini.
“Saya belum dapat laporan, nanti saya akan dapat laporan berhubung status projek tersebut.
“Tetapi rancangan kita adalah untuk menaik taraf semua lampu isyarat kepada lampu isyarat pintar,” katanya ketika ditemui di Kempen Keselamatan Jalanraya Peringkat Negeri Bersempena Tahun Baru Cina 2022 di Jalan Tun Jugah hari ini.
Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Expressway Samarahan dirasmikan pada Oktober 2020 dan dijadualkan siap dalam tempoh 15 bulan.
Lima bulatan yang terlibat adalah Setia Raja-Samarahan (berhampiran Tabuan Tranquility), Stutong-Samarahan (pasar raya Emart Tabuan Jaya), persimpangan ILP/LKIM, Pusat Jantung Sarawak-Samarahan dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)-Samarahan.
Tambah Lee, lampu isyarat pintar ini menggunakan teknologi ‘artificial intelligence’ bagi mengurus dan mengawal lalu lintas.
“Sebagai contoh, apabila terdapat kesesakan lalu lintas sistem berkenaan akan memberi masa yang lebih lama kepada lalu lintas.
“Sistem ini juga akan dilaksanakan di bahagian lain di Sarawak,” ujar beliau. — DayakDaily