Lebuh Raya Pesisir Utara-Miri ke Sungai Tujoh sedang dilaksanakan

Awang Tengah (enam dari kanan) di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Anak Jati Lawas di Miri. Foto: Ukas

KUCHING, 10 Mei: Pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) yang bermula dari Miri sehingga Sungai Tujoh di Brunei kini sedang dilaksanakan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Awang Tengah berkata, perkara berhubung pembinaan tersebut telah dimaklumkan kepada kerajaan Brunei.

“Saya juga telah ke Brunei untuk bertemu dengan pihak kerajaan di sana untuk memaklumkan yang pihak kerajaan Sarawak bakal meneruskan Jalan Pan Borneo yang diabaikan oleh kerajaan terdahulu di bawah projek NCH yang melalui Brunei, Lawas, Limbang dan berakhir di Sabah.


“Pembinaan Sarawak Link Road juga dalam fasa pertama dari Simpang Gelugus hingga Long Lopeng di Lawas.

“Ia bakal diteruskan lagi dari Limbang ke Miri tanpa melalui negara Brunei dengan jalan tersebut bakal digabungkan dengan NCH termasuk di sempadan Indonesia,” ujarnya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Anak Jati Lawas di Miri semalam.

Tambah Awang Tengah, kerajaan Sarawak turut meningkatkan pembangunan di kawasan Limbang dan Lawas dengan fokus utama terhadap penyediaan perkhidmatan rawatan.

Katanya, Hospital Lawas dalam pembinaan buat masa sekarang dan Klinik Lawas pula hampir siap, manakala Hospital Limbang bakal dipertingkatkan supaya mempunyai doktor-doktor pakar.

Selain itu, kata Awang Tengah, kerajaan juga komited dalam menyediakan sambungan bekalan elektrik di Lawas dan Limbang.

“Menjelang 2024, bekalan elektrik di Lawas dan Limbang bakal disambungkan ke ‘state grid’ wilayah Sarawak,” ujarnya. — DayakDaily