Lebih 700 sertai Karnival Parlimen Belia Serian

Riot (lima dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang acara badminton.

KUCHING, 19 Sept: Karnival Belia Parlimen Serian yang berlangsung selama dua hari mulai 17 hingga 18 Sept lepas disertai lebih 700 peserta termasuk pengunjung.

Karnival bersempena Sambutan Hari Malaysia 2022 itu dimeriahkan dengan penganjuran tujuh acara.

Ahli Parlimen (MP) Serian Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, kehadiran pengunjung dan penyertaan mereka di dalam pelbagai acara menunjukan karnival mendapat sambutan menggalakan daripada golongan belia sekitar Serian.


“Tujuan penganjuran karnival adalah untuk merapatkan hubungan diantara pelbagai lapisan masyarakat.

“Sepanjang 2 hari karnival, sambutan masyarakat khususnya golongan belia adalah sangat menggalakan,” katanya di majlis penangguhan karnival di Dewan Tayung Langui di Kampung Pichin semalam.

Acara yang dipertandingkan ialah badminton, e-sport PUBG, karaoke, tarik tali, bola sepak 3 lawan 3, memancing, snooker dan Zumba.

Sementara itu pada Sabtu (17 Sept), Riot yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur turut menyertai konvoi 200 motosikal berkuasa tinggi termasuk kapcai.

Konvoi anjuran Belia SUPP Serian bersama Pusat Khidmat Parlimen Serian itu bergerak melalui laluan Tasik Danu, Kampung Tangga Bypass, Tebakang, Bandar Mutiara dan tamat di Leort Cottage di Kampung Pichin. — DayakDaily