Lebih 70 buah rumah di Batu Kitang dibaiki menerusi PPRMS

Kelihatan Lo ketika ditemui pada penyerahan rumah PPRMS di Batu Kitang.

KUCHING, 26 Jan: Lebih 70 buah rumah rakyat dari kumpulan B40 di kawasan DUN Batu Kitang telah dibaik pulih sejak pelaksanaan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) pada 2017.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk setiap rumah.

“Pada penghujung tahun ini nanti, saya mensasarkan keseluruhan sebanyak 80 buah rumah penduduk dari golongan kurang berkemampuan dibaik pulih.


“Setiap tahun, sebanyak 20 hingga 30 buah rumah telah dibaik pulih,” katanya ketika ditemui semasa program penyerahan PPRMS di Jalan Chong Foh Hin, Batu Kitang hari ini.

Bagi projek tersebut, penerimanya ialah Liew Boon Jing, yang tinggal bersama isteri dan tiga orang anak serta emak berusia 81 tahun.

Projek bermula pada 30 November 2020 dan siap pada 7 Disember 2020.

“Bagi projek ini, kita telah membaik pulih bahagian atap, dinding, bilik air serta siling,” ujar Lo yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Tambah beliau, kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) memperuntukkan RM1 juta setahun kepada setiap Adun untuk melaksanakan PPMRS. — DayakDaily