Lebih 2,000 patah perkataan masyarakat Melanau dikumpul bagi penerbitan Kamus Melanau Ajang

Len Talif (duduk kanan) semasa Bengkel Permurnian Kamus Melanau Ajang.

KUCHING, 21 Sept: Lebih 2,000 patah perkataan daripada masyarakat Melanau telah dikumpul bagi tujuan penerbitan Kamus Melanau Ajang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, kesemua perkataan itu telah dikumpul dan diperbetulkan menerusi Bengkel Permurnian Kamus Melanau Ajang.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Len berkata, entri yang telah sedia ada perlu disahihkan, diluaskan takrif dan dikembangkan dari aspek pemaknaannya sebelum dimasukkan cara sebutan yang betul.


“Cara sebutan yang betul adalah berdasarkan pemenggalan fonemik oleh penutur jati yang telah dilantik berdasarkan idiolek (variasi dialek daerah) masing-masing,” katanya semasa Bengkel Permurnian Kamus Melanau Ajang bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak hari ini.

Tambah Len, entri-entri ini seterusnya akan disahihkan oleh Jawatankuasa Pengesahan bagi membina manuskrip bersih bagi tujuan penerbitan.

Difahamkan, seramai 35 peserta yang terdiri dari penduduk Kampung Kuala Rajang, Jerijeh dan Belawai telah menyertai bengkel pada 19 hingga 23 September ini. — DayakDaily