BINTULU, Feb 5: Lebih 200 penghuni rumah panjang di Rumah Nyipak, Jalan Sebauh Pandan di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, 36 buah pintu daripada 63 pintu di rumah panjang tersebut terbakar 100 peratus.
Menurutnya, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.32 malam.
“Sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan Samalaju kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tiong menambah, sejurus tiba di lokasi kebakaran, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebahagian daripada rumah panjang yang didiami 406 orang itu.
Katanya, tindakan pantas pasukan bomba mengawal api berjaya menghalang kebakaran memusnahkan 27 lagi pintu rumah panjang di situ.
“Kebanyakan mangsa terjejas tidak sempat menyelamatkan barangan serta dokumen penting kerana api marak dengan pantas.
“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam siasatan,” ujarnya. — DayakDaily