Lebih 200 pemandu teksi hantar petisyen bantah Grab dan Uber

Kelihatan para pemandu teksi melakukan perhimpunan aman bagi membantah perkhidmatan Grab dan Uber.

KUCHING, Jan 8: Para penjawat awam di sekitar Wisma Bapa Malaysia di sini gempar dengan kehadiran lebih 200 pemandu teksi yang membanjiri perkarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya di sini hari ini.

Kehadiran kumpulan pemandu teksi pada kira-kira pukul 9 pagi itu telah mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak selepas melihat perhimpunan aman membantah perkhidmatan Grab dan Uber di Kuching.

Malah, kehadiran mereka telah ditularkan dalam media sosial khususnya dalam Facebook dan WhatsApp.


Bagaimanapun, kehadiran para pemandu teksi di situ tidak mengundang perkara tidak dingini berlaku kerana mereka hanya mengadakan perhimpunan aman sekali gus menghantar petisyen kepada kerajaan negeri untuk membantu industri teksi khususnya di bandaraya Kuching.

Satu petisyen yang telah ditandatangani oleh kira-kira 237 pemandu teksi turut dihantar kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Petisyen itu telah diserahkan kepada Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Ahmad Hazlan Ismawi Azlan bagi pihak Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Lebih 200 pemandu teksi membanjiri perkarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya di sini hari ini untuk membantah perkhidmatan Grab dan Uber.

Menurut seorang pemandu teksi yang enggan dikenali, sejak perkhidmatan Grab dan Uber diperkenalkan di sini, pendapatan mereka semakin terjejas sehingga kira-kira 50 peratus daripada pendapatan asal sebelum itu.

Dakwanya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, majoriti pemandu teksi kehilangan pendapatan hingga 70 peratus selepas pengguna lebih gemar memilih perkhidmatan Grab dan Uber.

“Misalnya, sebelum ini, pemandu teksi seperti saya boleh mendapat pelanggan lima hingga enam dalam sehari, namun kini satu atau dua pelanggan pun semakin susah.

“Meskipun kami tahu trend terkini orang ramai gemar memilik Grab dan Uber, namun kami berharap pihak kerajaan dapat membantu dengan membentuk situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak,” ujarnya lagi. — DayakDaily