This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 28 Jun: Dianggarkan lebih 19,000 pengunjung datang ke Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 yang diadakan dari 23 hingga 25 Jun lepas.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan penganjuran pada tahun sebelumnya.
“Ada peningkatan jumlah pengunjung sepanjang tiga hari festival, iaitu lebih kurang 19,000 orang hadir.
“Pada tahun lepas kita merekodkan 16,000 pengunjung,” katanya pada sidang media pengumuman Kuching Umrah Gateway (KUG) di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan menambah, hasil tinjauan mendapati rata-rata peniaga di festival tersebut berpuas hati dengan kehadiran pengunjung.
“Saya buat lawatan dan bertanya kepada penjual cenderamata, mereka kata festival patut diadakan tiga kali.
“Ini bermakna jualan mereka laku dan berpuas hati dengan kehadiran pengunjung,” jelas Abdul Karim.
Dalam pada itu, beliau yakin jumlah pelancong ke Sarawak akan menunjukkan peningkatan pada tahun ini.
Katanya, mulai Januari hingga Mei tahun ini, jumlah kehadiran pelancong meningkat dan mengatasi jangkaan.
“Bermula Jun hingga September saya yakin jumlah pelancong akan terus meningkat berdasarkan pelbagai acara yang akan kita adakan,” kata Abdul Karim.
Turut hadir di persidangan media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board Sharzede Salleh Askor. — DayakDaily