Lebih 100 ketua masyarakat dan kaum Parlimen Petra Jaya bantah penubuhan MPKKP

Roslie (berdiri lapan dari kiri) bersama ketua masyarakat dan kaum kawasan Parlimen Petra Jaya mengadakan bantahan terhadap penubuhan MPKKP di negeri ini.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Oktober: Ketua-ketua masyarakat dan kaum kawasan Parlimen Petra Jaya membantah sekerasnya penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di negeri ini.

Bantahan tersebut disuarakan pada satu perhimpunan di Dewan Masyarakat Kampung Pinang Jawa, Petra Jaya, yang dihadiri lebih 100 orang ketua masyarakat dan kaum.

Advertisement

Pengerusi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Gabungan Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya, Pemanca Roslie Sahari, berkata penubuhan MPKKP dikhuatiri akan mencetus perselisihan faham antara rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita sama-sama membantah sekerasnya penubuhan MPKKP dan bantahan ini juga turut diadakan di seluruh negeri pada masa ini. Penubuhan MPKKP bakal mewujudkan kacau-bilau, huru-hara di seluruh negeri dan ia adalah tidak perlu.

“Sarawak buat sekian lama sudah ada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik,” dakwanya ketika majlis di sini, hari ini.

Beliau merasakan Sarawak sudah memiliki cara pengurusan atau adat tersendiri dan campur tangan dari pihak luar tidak diperlukan.

Turut memberi ucapan sebagai menyuarakan bantahan pada perhimpunan tersebut ialah Pemanca Chai Kiun Kian yang mewakili kaum Cina dan Tuai Rumah Adi Jala mewakili kaum Iban.

Berhubung isu berkaitan, Pemanca Melayu Kawasan Kuching Utara, Roshidi Junai, berkata satu seminar akan diadakan di Sibu dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, seminar yang menghimpunkan semua ketua masyarakat dan kaum dari seluruh negeri itu akan mengadakan bantahan besar-besaran terhadap penubuhan MPKKP di Sarawak. — DayakDaily

Advertisement