Larry: Ambil tanggungjawab bersama putuskan rantaian Covid-19

Larry Sng

KUCHING, 24 MEI: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Larry Sng menggesa seluruh rakyat mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan masing-masing daripada wabak Covid-19 pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, adalah penting untuk semua memastikan rantaian penyebaran wabak tersebut diputuskan.

“Kebiasaannya Hari Raya Aidilfitri di negara kita disambut dengan meriah terutama sekali di Sarawak. Pelbagai kelompok masyarakat akan mengadakan rumah terbuka.


“Bagaimanapun, pandemik Covid-19 tidak mengizinkan kita untuk melakukan tradisi yang indah itu seperti kebiasaannya.

“Himpunan–himpunan besar telah dilarang oleh Kerajaan bagi memastikan rantaian penyebaran virus tersebut dapat diputuskan dan kita terpaksa akur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun tambah Larry, sambutan dan hubungan masih boleh terjalin melalui
kaedah-kaedah yang lain.

Menurut MP Pakan itu, ucapan selamat hari raya boleh diucapkan melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram.

Larry turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat Islam khasnya di Sarawak.

Beliau mengajak seluruh rakyat untuk terus mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan.

“Walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan kepercayaan, rakyat digalakkan untuk sentiasa terus mengamalkan kesederhanaan.

“Kita sedar bahawa sikap melampau akan merapuh dan merosakkan keharmonian. Sarawak negeri berbudaya tinggi dan sering menjadi contoh kepada negeri lain,” ujar Larry.—DayakDaily