Larangan sementara lalulintas kenderaan berat di tiga pangkalan feri Mukah

Notis JKR Sarawak melarang sementara lalulintas kenderaan berat di tiga pangkalan feri di bahagian Mukah.

KUCHING, 21 Ogos: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan melarang sementara lalulintas kenderaan berat termasuk lori, trailer dan tangker di tiga pangkalan feri di bahagian Mukah pada esok (22 Ogos) dan 5 September depan.

Pangkalan feri terbabit ialah Feri Batang Paloh di Serdeng, Feri Muara Lassa, Daro dan Feri Kuala Igan, Matu dengan larangan terbabit akan bermula dari jam 6 pagi sehingga jam 2 petang.

“Keutamaan hanya untuk kereta atau kenderaan ringan sahaja,” menurut notis terbabit di laman Facebook Corporate Communication JKR Sarawak.

Larangan sementara ini bagi mengatasi masalah kesesakkan lalulintas dan keselamatan penguna tiga feri berkenaan.

Ini akibat jumlah kenderaan yang akan banyak semasa Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Paloh, Daro (esok) dan  Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Igan, Matu (5 Sept). -DayakDaily