Larangan ketua kaum harus ditarik balik demi keharmonian negeri

Willie (dua kiri) menyampaikan hadian kepada sekolah yang memenangi Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Sarawak.

KUCHING, 22 Jun: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, menggesa kerajaan Sarawak menarik balik arahan yang melarang ketua kaum di negeri ini dari menghadiri acara yang dianjurkan wakil rakyat kerajaan pusat.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri telah menyatakan hasrat berkerjasama dengan kerajaan pusat dan sepatutnya kerjasama itu dimulakan di peringkat akar umbi sebelum dibawa ke peringkat atasan.

“Saya rasa (arahan) ini tidak membantu kerajaan Sarawak kerana perkara ini boleh menbantutkan kerjasama mereka dengan kerajaan pusat dan perkara ini patut diselesaikan secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Sarawak Serta Program Pameran Kenegaraan dan Bintang Patriotik 2019 anjuran Jabatan Penerangan, di sini, hari ini.


Tambah beliau: “Jadi saya merasakan bahawa Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, patut memberi penekanan yang serius mengenai perkara ini kerana ia juga boleh membantutkan pembangunan di Sarawak.”

Willie (lapan kiri) bersama pelajar sekolah yang menyertai Pertandingan Sketsa Rukun Negara.

Beliau malahan merasakan larangan terbabit tidak sesuai kepada penduduk Sarawak yang berbilang bangsa dan kaum serta mengamalkan sopan santun, budi bicara yang baik dan profesional.

“Sesetengah ketua kaum dan ketua masyarakat (di Parlimen Puncak Borneo), mereka memang tidak menghadiri apa jua upacara atau program yang kita (wakil rakyat kerajaan pusat) lakukan, tetapi mereka mesti mengetahui yang elaun mereka itu lebih separuhnya dibayar Pakatan Harapan, iaitu kerajaan pusat,” katanya.

Willie sehubungan itu mahu ketua kaum dan ketua masyarakat di Sarawak meletakkan permasalahan rakyat lebih dari jawatan masing-masing supaya dapat dilihat sebagai pemimpin yang cukup amanah dan bertanggungjawab.

“Saya juga memang menekankan dengan setingginya malahan memohon dan merayu supaya kerajaan Sarawak menarik balik arahan larangan terbabit kerana tidak menguntungkan sesiapa pun.”

Beliau juga melihat arahan itu sebagai hanya menggambarkan bahawa kerajaan Sarawak terlalu bimbang dengan kelangsungan politik.

Katanya, arahan larangan yang dikeluarkan kerajaan Sarawak sekitar pertengahan tahun lepas itu sudah lama berlarutan itu dianggapnya tidak sihat kepada keharmonian Sarawak. — DayakDaily