Lapan kru kapal diselamatkan selepas lima hari dihanyutkan di laut

Keadaan kapal yang rosak.

BINTULU, Dis 24: Maritim Malaysia Daerah Maritim (DM) 12 Bintulu hari ini berjaya menyelamatkan lapan kru kapal MAS 290 yang terkandas dan dihanyutkan akibat dilanda ribut dan ombak besar berikutan ribut monsun yang melanda perairan Bintulu pada Dis 19 lalu.

Pengarah Maritim Daerah DM12, Kepten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pihaknya telah melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima laporan kecemasan berhubung insiden itu.

Katanya, bertindak atas laporan kecemasan tersebut, beliau telah mengarahkan aset DM12 Bintulu, Kapal Maritim Tabah (KM Tabah) yang diketuai Leftenan Komander Muhammad Azizol Azmi bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Pada Dis 19 lalu, kita telah menerima panggilan kecemasan berhubung kapal MAS 290 itu mengalami masalah enjin.

“Dalam laporan sama, ekoran kerosakan enjin, kapal tersebut telah dihanyutkan ombak besar ke lokasi di mana kapal itu terkandas selama lima hari sehingga berjaya diselamatkan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lapan kru kapal layar yang diselamatkan Maritim DM12.

Mengulas lanjut, Aminuddin memberitahu, keadaan laut bergelora dan angin kencang yang melanda sedikit sebanyak menyukarkan Maritim DM12 melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Katanya, Maritim DM12 terpaksa menubuhkan satu lagi pasukan penyelamat yang terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lima kilometer dari Taman Negara Similajau melalui jalan darat yang diketuai oleh Pegawai SAR Maritim DM12, Leftenan Madya Maritim Mohamad Hasni Lizarus yang ke lokasi kejadian pada pukul 5.00 pagi hari ini.

“Strategi itu berhasil sebelum mereka menyelamatkan kesemua kru-kru kapal terbabit pada pukul kira-kira 7.30 pagi pada hari yang sama.

“Kesemua kru kapal yang merupakan warga tempatan telah berjaya dibawa ke Pelabuhan Bintulu tanpa mengalami sebarang kecederaan serius,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, beliau menyeru kepada para pelaut dan juga komuniti maritim agar lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan cuaca buruk kebelakangan ini.

Sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan katanya, sila hubungi talian MERS 999. — DayakDaily