Lan Berambeh Anak Sarawak 2019 di Kuala Lumpur dihadiri 8,000 peserta

Fadillah pada sidang media Lan Berambeh di MITEC.

KUCHING, 19 Oktober: Program “Lan Berambeh Anak Sarawak 2019” berjaya menarik hampir 8,000 penyertaan daripada seluruh Semenanjung Malaysia.

Dianjurkan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini, edisi ke-13 ini disertai 31 agensi kerajaan, sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 43 usahawan.

Acara berlangsung seawal jam 8 pagi diserikan dengan empat komponen pengisian utama iaitu Sarawak Inspires, Sarawak Dialogue dan Sarawak Agenda. Ia diakhiri dengan acara kemuncak, iaitu Majlis Makan Malam Anak Sarawak.


Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, pada sidang media sebentar tadi, berkata Sarawak Dialogue tahun ini membincangkan empat tajuk penting.

“Empat tajuk tersebut adalah berhubung isu pendidikan, rumah mampu milik, pengangguran para belia dan isu sosial.

“Sesi melibatkan perbincangan dua hala di antara para pelajar universiti dan para panelis yang terdiri daripada pembuat polisi, pemimpin masyarakat dan aktivis NGO,” katanya.

Acara Lan Berambeh adalah sebagai wadah perhimpunan untuk mengeratkan perpaduan anak Sarawak daripada pelbagai latarbelakang yang berada di Semenanjung Malaysia, tambah beliau.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers) dengan sokongan kerajaan negeri Sarawak dan kerjasama daripada Pejabat Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur.

Penganjurannya tahun ini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

“Istimewanya pada tahun ini, komponen Sarawak Inspires membuka peluang kepada ramai usahawan Sarawak yang telah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk mempamerkan produk dan servis mereka.

“Inspirasi daripada mereka akan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam bidang keusahawanan,” kata Fadillah.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Sarawak Agenda menampilkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam sesi Town Hall #TanyakAbangJo.

Majlis Makan Malam Anak Sarawak pula diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan-persembahan daripada  para penggiat seni anak Sarawak. — DayakDaily