KWKPK terima lebih 18 ribu permohonan Endowment Fund Sarawak

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 6 OKT: Seramai 18,222 bayi di seluruh Sarawak memohon untuk memperoleh bantuan Endowment Fund Sarawak (EFS) sehingga 28 September lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah tersebut, 83 peratus daripada jumlah yang disasarkan oleh kementerian bagi permohonan EFS tahun ini.

“Peruntukkan yang diberi kerajaan negeri untuk EFS tahun ini ialah RM30 Juta melibatkan sasaran 30,000 pemohanan,yang sudah memohon 18,000. Jadi siapa yang belum memohon diingat untuk melakukannya,” katanya.


Beliau berkata bantuan tersebut merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dan ia seharusnya memberikan manfaat kepada semua rakyat di negeri itu.

Kata Fatimah, selain daripada EFS, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM18 juta bagi menyediakan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang dijangka bakal memberikan manfaat kepada kira-kira 40,000 ibu atau bakal ibu di seluruh negeri itu.

“Sehingga 28 September lalu, kita menerima sejumlah 11,459 permohonan daripada ibu-ibu yang sudah bersalin iaitu 52 peratus daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya memohon untuk mendapatkan bantuan tersebut,” katanya

Menurut Fatimah, selain dua bantuan tersebut, seramai 832 waris penerima Kenyalang Gold Card (KGC) memohon untuk mendapatkan Bantuan Ikhsan Kematian (BIK) dengan 577 daripada semua permohonan itu diluluskan sehingga 2 Oktober lepas.

Dalam pada itu katanya, kementeriannya turut menerima sejumlah 3,020 permohonan geran tahunan khas daripada institusi pendidikan awal kanak-kanak melibatkan pembayaran berjumlah RM15.1 juta.

“Seramai 81,279 kanak-kanak yang berada di Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak di seluruh negeri kita ini akan mendapat manfaat daripada peruntukan geran tahunan khas ini.

“Selain itu kita juga mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membeli enam mesin dialysis untuk menggantikan mesi-mesin yang telah uzur dan ini boleh membantu pesakit buah pinggang kita dengan 936 kali cucian dialysis.

Katanya, terbaharu, kerajaan Sarawak turut memperuntukan sejumlah RM1.5 juta menerusi inisiatif i-Suri untuk membantu kira-kira 25,813 penerima yang berdaftar dengan e-Kasih yang belum mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Untuk empat tahun selepas ini, peruntukan telahpun diluluskan dan peruntukan tersebut boleh membantu kira-kira 70,000 rakyat kita yang berdaftar dengan e-kasih setahun dan ini pastinya akan menurunkan paras garis kemiskinan di Sarawak,” katanya. — DayakDaily