Kutipan “Kit Bantuan Ke Sekolah” dilancarkan, sasarkan membantu 250 pelajar

Datuk Mohd Rosli Ramli (empat dari kanan) menyerahkan kotak kutipan "Kit Bantuan Ke Sekolah" kepada wakil pengurusan Plaza Merdeka, Leovell Sam Avenido (lima dari kiri) secara simbolik melancarkan kutipan terbabit di Plaza Merdeka.

KUCHING, Dis 22: Yayasan Ikhlas dengan kerjasama pusat beli-belah Plaza Merdeka mensasarkan membantu seramai 250 pelajar sekolah menengah di negeri ini membayar yuran persekolahan dan mendapatkan pakaian seragam baru tahun hadapan dengan melancarkan kutipan “Kit Bantuan Ke Sekolah” di pusat beli-belah itu, di sini hari ini.

Pengerusi Yayasan Ikhlas Datuk Mohd Rosli Ramli telah melancarkan kutipan tersebut dengan penyerahan kotak kutipannya secara simbolik kepada wakil pengurusan Plaza Merdeka, Leovell Sam Avenido.

Mohd Rosli berkata acara kutipan tahun lepas telah berjaya membantu seramai 700 pelajar sekolah menengah di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah manakala kutipan tersebut tahun ini disasarkan membantu seramai 250 pelajar di negeri ini tahun hadapan.


“Kami menumpukan membantu pelajar sekolah menengah dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima kerana murid sekolah rendah sudah ada menerima pelbagai program bantuan persekolahan dari jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya merancang mengadakan acara penyampaian sumbangan kutipan di sekitar Kuching pertengahan Januari tahun hadapan dan berharap golongan dermawan tempatan dapat menyumbang kepada kutipan tersebut.

Disamping itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pertubuhan tempatan, ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung dan sekolah bagi mendapatkan senarai nama pelajar sekolah menengah yang memerlukan bantuan persekolahan tahun hadapan.

Yayasan Ikhlas mensasarkan membantu sehingga RM200 bagi seorang pelajar melalui kutipan itu dengan pelajar terbabit akan menerimanya dalam bentuk wang tunai, beg, buku dan alat tulis.

Orang ramai juga boleh menyerahkan sumbangan kewangan mereka ke kotak kutipan terbabit di kaunter informasi Plaza Merdeka sehingga Jan 1, 2018 ataupun menyumbang alat tulis dan pakaian seragam sekolah menengah kepada kutipan itu sehingga Dis 25 ini. — DayakDaily