This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 28 Jun: Sarawak berhasrat menjadikan Bandaraya Kuching sebagai Hub Umrah bagi rantau Borneo.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Kuching adalah lokasi strategik dan mampu mengumpulkan bakal-bakal jemaah dari Pontianak, Sambas, Banjar Masin, Singkawang selain Sabah dan Brunei.
“Kuala Lumpur sudah menjadi Hub Umrah dan kita ingin menjadikan Kuching sebagai hub di Borneo.
“Niat kita adalah agar Kuching dikunjungi mereka yang hendak menunaikan Umrah khususnya bakal jemaah dari Kalimantan, Brunei, Sabah termasuklah dari Taiwan,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Kuching Umrah Gateway (KUG) di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Berhubung pengumuman KUG, Abdul Karim berkata, penerbangan pertama membawa bakal-bakal jemaah dijadual pada 29 Ogos ini.
Katanya, jemaah akan menaiki pesawat MAS dari Kuching ke Kuala Lumpur dan terus ke Jeddah.
Jelas Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, fasa pertama pakej Umrah dari Kuching itu menyediakan penerbangan sekali seminggu ke Jeddah.
“Fasa pertama adalah bagi tempoh sehingga Oktober ini, selepas itu kita akan menambah penerbangan dengan sasaran kita ialah 5 penerbangan seminggu.
“Ini bergantung kepada kelulusan daripada pihak Arab Saudi, ” katanya. — DayakDaily