Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, 6 Mac: Pendatang baru Liga Premier, Kuching FA, masih gagal meraih sebarang mata dalam kempen liga selepas mencatat kekalahan kedua malam tadi.
Kuching FA tunduk 1-2 kepada wakil negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan United FC, dalam perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan kapten Kuching FA, Rafiezan Razali pada minit ke-19.
Bagaimanapun, kelebihan dimiliki Kuching FA hanya bertahan tiga minit sahaja apabila penyerang import tuan rumah, Gassama Alfusainey menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-22.
Kuching FA kian tertekan selepas pemain pertahanannya, Razziman Razali menjaringkan gol sendiri pada minit ke-54, yang membolehkan Kelantan United mendahului dengan 2-1.
Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan menyaksikan Kuching FA sekali lagi pulang dengan tangan kosong.
Pasukan itu akan meneruskan kempen Liga Premier menentang Terengganu FC II pada 10 Mac ini di Stadium Sarawak, Petra Jaya. — DayakDaily