Kuarters lama Pejabat Daerah Kecil Trusan musnah terbakar

Kesan kebakaran melibatkan sebuah kuarters yang terbakar.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Feb 11: Sebuah kuaters lama Pejabat Daerah Kecil Trusan di Jalan Trusan di sini musnah terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.05 petang itu mengakibatkan satu blok kuaters yang berkeluasan 50×20 kaki telah terbakar 100 peratus.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Lawas, Edmund D Mahai Amboh berkata, pihak menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.08 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati kebakaran itu melibatkan kuaters yang tidak berpenghuni dan sudah lama ditinggalkan.

“Pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman sebelum kebakaran terkawal pada pukul 2.15 petang,” katanya di sini hari ini.

Edmund menambah, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan mangsa.

“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily