Kualiti udara di Sri Aman kembali ke paras sangat tidak sihat dari berbahaya semalam

Uggah (lima dari kanan) bersama penerima-penerima cek dana bantuan UNIFOR di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, SEPT 18: Usaha dipertingkatkan untuk membantu Sri Aman keluar dari masalah jerebu dan kekurangan bekalan air.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sri Aman mengadakan mesyuarat pagi ini untuk menyusun tindakan termasuk usaha memadamkan kebakaran belukar yang sedang berlaku.

Advertisement

“Terdapat dua titik panas di Sri Aman dan kita harap ia dapat dipadamkan hari ini. Kita akan terus memantau situasi selain mendapatkan bantuan Bomba dari Betong dan Saratok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Cek Dana Bantuan UNIFOR Tahun 2019 (Fasa Pertama) di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Sri Aman pada jam 8 pagi ini adalah 239 dan masih pada paras sangat tidak sihat.

Namun ia adalah lebih baik dari semalam yang pada paras berbahaya dengan bacaan IPU 407 pada jam 5 petang.

Uggah menerangkan kepada pemberita berhubung situasi jerebu dan masalah air di Sri Aman.

Berhubung 452 titik panas di Kalimantan yang direkod setakat jam 8 pagi ini, Uggah berkata ia adalah berita yang tak baik.

“Kita harap jumlah titik panas ini dapat dikurangkan kerana semua jerebu yang melanda Sarawak ini adalah jerebu rentas sempadan.

“Tidak banyak dari Sarawak yang hanya ada 17 titik panas kecil dan boleh dikawal,”ujar beliau.

Uggah turut memaklumkan yang pasukan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersedia pada bila-bila masa untuk menjalankan operasi pembenihan awan (OPA).

“Kita akan mengadakan mesyuarat sebentar lagi untuk membuat penilaian kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai untuk menjalankan operasi.

“Sebaik sahaja, Jabatan Meteorologi mengesan kehadiran awan, terutama di Sri Aman, kita akan melakukan operasi,” katanya.

Berhubung masalah tiada bekalan air yang melanda Sri Aman, Uggah berkata Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut.

Masalah yang berlarutan selama dua bulan katanya berpunca dari kemarau yang melanda bahagian tersebut dan ianya tak pernah berlaku selama ini.

“Pertama, kita mencari penyelesaian segera untuk membekalkan air kepada penduduk Sri Aman.

“Kedua, kita mencari penyelesaian jangka panjang agar masalah ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut Uggah menyampaikan 98 cek dana bantuan berjumlah RM16,350,000 kepada 27 Yang Berhormat yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Pengagihan cek dana ini disalurkan kepada 109 permohonan dan jumlah keseluruhan bagi pengagihan fasa pertama adalah RM19.1 juta.— DayakDaily

Advertisement