Kraftangan tradisional punca pendapatan sampingan wanita Penan Murum

Diana Batang, 18, menunjukkan kraftangan anyaman rotan tradisional kaum Penan yang berbentuk beg tangan moden ketika demonstrasi membuatnya selepas Majlis Kraftangan Penan Murum : Pelancaran Reka Bentuk Kontemporari di Menara Sarawak Energy, Sejingkat, di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Dis 11: Wanita kaum Penan dari kawasan Murum kini mampu mendapat pendapatan sampingan sehingga RM200 sehingga RM600 sebulan dengan menghasilkan kraftangan anyaman rotan tradisional mereka yang berbentuk beg tangan moden.

Antaranya Diana Batang, 18, dari Long Malim yang secara purata mampu membuat satu anyaman beg tangan terbabit dalam tempoh lima hari. Beg itu kemudian akan dijual pada harga RM80 setiap satu yang memberinya pendapatan sampingan sekitar RM200 sebulan.

“Bagaimanapun ramai wanita kaum Penan lain dari kawasan saya yang sudah lebih lama terbabit dalam pembuatan kraftangan ini mampu mendapat sehingga mencecah RM500-RM600 sebulan kerana mereka dapat menganyam rotan dengan lebih pantas dan menghasilkan lebih banyak beg tangan itu dalam sebulan,” katanya ketika menghadiri Majlis Kraftangan Penan Murum: Pelancaran Reka Bentuk Kontemporari di Menara Sarawak Energy, Sejingkat, di sini, semalam.

Advertisement
Orang ramai berebut membeli kraftangan anyaman rotan tradisional kaum Penan yang berbentuk beg tangan moden di Majlis Kraftangan Penan Murum: Pelancaran Reka Bentuk Kontemporari di Menara Sarawak Energy, Sejingkat, di Kuching.

Diana berkata beliau yang baru setahun menceburi pembuatan kraftangan anyaman tradisional rotan kaum Penan dan mempelajarinya dari ibunya ketika ini lebih cenderung membuat kraftangan itu dalam bentuk beg tangan moden berbanding anyaman lain berikutan harga jualannya lebih baik disamping produk itu juga lebih laris dijual.

“Ini lebih berbaloi dengan usaha kami membuat kraftangan dari rotan yang bermula dengan mencari bekalan rotan jauh dalam hutan sekitar kawasan Linau terletak lima jam perjalanan mengunakan kenderaan dari rumah panjang kami di Murum,” katanya.

Beliau dan seramai 10 orang penghuni rumah panjangnya akan selama lima atau enam hari berkeliaran mencari dan mengumpul rotan liar di kawasan hutan tebal terbabit yang kemudian akan dibawa pulang bagi dijemur dan dibelah sebelum dianyam sebagai kraftangan berbentuk moden itu.

Kraftangan terbabit adalah hasil kerjasama kaum Penan di Murum dengan Sarawak Energy dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bermula sejak 2016 bagi mempelbagaikan bentuk dan menambah nilai komersil kraftangan tradisional suku kaum itu.

Berikutan itu Diana bersama wanita kaum Penan dari Murum iaitu Roska Asan dan Sia Ngau dari Long Malim serta Bawe Adu, Nyapok Adu dan Tijan Paneh dari Long Wat telah turut menghadiri majlis pelancaran itu bagi memberikan demonstrasi membuat anyaman kraftangan itu.

Pelancaran kraftangan bentuk moden itu telah disempurnakan Naib Presiden Eksekutif Bagi Perkhidmatan Koperat Sarawak Energy, Aisah Eden dan majlis juga dihadiri Pengarah Institut Informasi Sosial dan Inovasi Teknologi UNIMAS, Professor Dr Narayanan N. Kulathu Ramaiyer.

Naib Presiden Eksekutif Bagi Perkhidmatan Koperat Sarawak Energy, Aisah Eden (empat dari kanan) bersama wanita kaum Penan dari Murum melancarkan kraftangan kaum itu berbentuk kontemporari di Menara Sarawak Energy.

Selepas pelancarannya, kraftangan bentuk moden yang dihasilkan suku kaum Penan di Murum dijual sekitar RM100 sehingga RM180 bagi berbentuk beg tangan, beg galas atau beg seminar manakala beg dompet sekitar RM80 sehingga RM100 serta RM50 hingga RM60 bagi bentuk lain seperti tudung lampu dan mangkuk.

Sementara itu, Aisah berkata disebabkan kraftangan rotan kaum Penan diminati penduduk negeri ini kerana keunikan dan kualitinya, pihaknya memilih membantu kaum itu di Murum membangunkan kemahiran menghasilkan dan memasarkan produk itu.

Ini bagi membantu menambah pendapatan kaum terbabit yang ditempatkan di penempatan semula Tegulang dan Metalun kerana pembinaan Empangan Hiroelektrik Murum dengan Sarawak Energy sebelum ini telah bekerjasama dengan Majlis Kraftangan Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak bagi mengadakan bengkel latihan berkaitan kepada mereka.

“Mulai 2016, kami telah berkerjasama dengan Fakuliti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS bagi membangunkan produk kraftangan mereka dengan reka bentuk kontemporari yang menambah nilai dan akan dapat lebih dikomersilkan,” katanya dengan pihaknya selepas ini akan meneruskan kerjasama terbabit dengan UNIMAS bagi membolehkan kraftangan kaum itu meneroka pasaran antarabangsa. — DayakDaily

Advertisement