KUCHING, 6 Mac: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan tujuh pendekatan dan ketetapan bagi menangani isu beg berat murid.
Menterinya Dr Radzi Jidin menerusi perkongsian infografik di laman Facebook rasmi beliau berkata, ia termasuk penyediaan lokar kepada murid.
Pelaksanaan ini juga melibatkan penyusunan semula jadual waktu, buku latihan, buku aktiviti dan buku kerja, buku teks digital, pendekatan PdP dan kerjasama dengan JAKIM.
Bagi sekolah dua sesi, penyediaan lokar dibahagikan kepada dua fasa yang melibatkan murid Tahap 1 dan Tahap 2.
Tahap 1 (Fasa 1) merangkumi murid Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Ia melibatkan 10,662 kelas dengan 323,186 orang murid dengan peruntukan tahun 2022 berjumlah RM37.3 juta.
Manakala Tahap 2 (Fasa 2) merangkumi murid Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Pelaksanaan Fasa 2 dijangka pada tahun 2023.
Bagi sekolah satu sesi, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.
KPM juga akan melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari.
Sekolah diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran mingguan.
Bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu masa.
Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.
Radzi memaklumkan penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan.
Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuatnaik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
KPM menggalakkan penggunaan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali atau pembelajaran berbeza. — DayakDaily