KPM akan lakukan yang terbaik untuk SMK Balai Ringin

Keadaan blok pentadbiran yang terbakar.

BALAI RINGIN, 8 Jan: Tragedi yang menimpa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau melalui pengkongsian dalam Facebook miliknya menyatakan kementeriannya akan segera mendapatkan maklumat lengkap mengenai kerosakan susulan kejadian tersebut.

“Saya sendiri pernah melawat ke sekolah ini kegika kunjungan ke Sri Aman, tahun lepas.


“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kerosakan di sekolah tersebut dan mengambil tindakan susulan dengan segera,” katanya.

Katanya juga, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“InsyaAllah, kami (KPM) akan ikhtiarkan yang terbaik untuk warga SMK Balai Ringin,” katanya lagi.

Sebuah blok di SMK Balai Ringin di Serian, yang terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Kuching musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.04 pagi.

“Kebakaran melibatkan blok pentadbiran yang menempatkan bilik guru di tingkat atas bangunan yang musnah 100 peratus,” katanya.

Operasi memadam kebakaran tersebut dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian. ― DayakDaily