KPDNHEP: Waktu operasi premis mengikut syarat lesen dibenarkan mulai 1 April

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 9 Mac: Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis setelah negara memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ mulai 1 April ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini bermakna semua premis peruncitan termasuk pasaraya, pasaraya besar, mini-mart, kedai runcit, pasar basah, pasar tani, pasar malam dan kedai makan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Fasa Peralihan ini merupakan strategi keluar untuk membolehkan Keluarga Malaysia kembali semula kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa dalam norma baharu yang lebih selamat.


“Komuniti perniagaan tentunya dapat menarik nafas lega dengan pengumuman ini berikutan pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan.

“Pembukaan sepenuhnya pastinya menjadi 2 pemangkin dalam merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya sektor perdagangan dan pengedaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, kementerian menyokong penuh prosedur operasi standard (SOP) mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.

KPDNHEP katanya akan memastikan bekalan pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri Covid-19 (RTK) sentiasa stabil dan peniaga mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan Kerajaan.

“Begitu juga langkah pencegahan dan pengesanan melalui pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera perlu terus diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai.

“MYSJTrace perlu terus diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi pengunjung,” ujar beliau.

Dalam pada itu tambah Nanta, peratus pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara bagi sektor perdagangan pengedaran adalah tinggi sehingga 99.9 peratus.

Ini berdasarkan pemeriksaan di 1.088 juta premis dari 13 Mei 2020 hingga 8 Mac 2022.

“Sejumlah 1,063 kes direkodkan bagi pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP dan jumlah kompaun yang dikeluarkan pula adalah sebanyak RM5.267 juta sepanjang tempoh yang sama,” katanya. — DayakDaily