KPDNHEP: Tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel, kata Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, JUN 10: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel.

Menurut Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi, penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui ‘Automatic Pricing Mechanism’(APM).

Katanya, ia dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia.


“Justeru, KPDNHEP memandang serius laporan media berhubung pembatalan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“KPDNHEP ingin menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi dasarBpenetapan harga jualan runcit petrol dan diesel, seperti yang dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, harga jualan runcit bahan api itu ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta tersebut sejak 30 Mac 2017.

Tujuan pewartaan jelas Nanta adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Walaubagaimanapun, mulai 29 Februari 2020, KPDNHEP telah menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Perubahan mekanisme ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa,” ujar beliau.

KPDNHEP tegas Nanta lagi komited memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan demi menjaga kepentingan pengguna.—DayakDaily.