KPDNHEP tawar pekerjaan melalui perniagaan francais dan jualan langsung

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 17 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) menawarkan kepada rakyat sumber pekerjaan atau pendapatan baharu melalui perniagaan francais dan jualan langsung.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dilaksanakan menerusi program pemerkasaan usahawan francais dengan peruntukan RM1 juta.

Katanya, ia dibantu menerusi pemerkasaan industri jualan langsung dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.


ā€œDiharapkan Keluarga Malaysia akan mengambil peluang dengan menyertai program dan inisiatif yang akan dilaksanakan oleh KPDNHEP pada tahun hadapan,ā€ katanya di sidang Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Tambah Nanta yang juga MP Kapit, semua pihak digesa bersama untuk mewar-warkan kepada masyarakat di luar bahawa Suruhanjata Syarikat Malaysia (SSM) masih lagi membuka peluang serta mensasarkan lebih 100,000 pendaftaran baharu melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).

Katanya, ia bagi golongan B40 dan juga pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tanpa dikenakan fi bagi pendaftaran baharu serta maklumat perniagaan. ā€” DayakDaily