KUCHING, 27 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan ke atas premis yang menjual barangan kelengkapan elektronik berikutan peningkatan permintaan barangan tersebut di pasaran.
Pengarahnya Datuk Stanley Tan berkata, pemeriksaan dilaksanakan di bawah OPS CATUT 8.0 bagi memantau dan mengawal kenaikan harga barangan tersebut.
“Pemeriksaan ini bertujuan bagi memantau dan memastikan setiap peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Ia harus mematuhi perundangan Peraturan–Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Barangan kelengkapan elektronik mendapat permintaan tinggi di pasaran berikutan pelaksanaan proses pembelajaran secara atas talian bermula 20 Januari 2021.
Menurut Tan, pemeriksaan menyasarkan kepada barangan yang mendapat permintaan tinggi iaitu komputer meja, komputer riba, mesin pencetak dan telefon bimbit.
Katanya, sejak 25 Januari 2021 sehingga hari ini, sebanyak 19 Notis Pengesahan Maklumat Barangan telah dikeluarkan oleh agensi bagi mendapat maklumbalas berkaitan kenaikan harga.
“KPDNHEP menasihatkan setiap peniaga untuk tidak mengambil kesempatan pada situasi ketika ini dan mengamalkan etika perniagaan yang jujur.
“Tindakan tegas akan di ambil sekiranya didapati peniaga tersebut melakukan kesalahan dengan mengaut keuntungan yang tidak munasabah dalam menjual atau membekalkan barangan tersebut,” tegas Tan.
Sementara itu, Tan berkata, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti. — DayakDaily