KPDNHEP sumbang 5 buah ventilator bernilai RM25,000 kepadas Hospital Kapit

Kelihatan Nanta (empat dari kanan) semasa penyerahan mesin ventilator kepada Hospital Kapit.
Advertisement

KUCHING, 18 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menyumbang lima buah mesin ventilator kepada Hospital Kapit.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sumbangan adalah menerusi peruntukan wakalah agihan zakat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Sumbangan bagi membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan yang teruk akibat jangkitan wabak Covid-19.

Advertisement

“Mesin ventilator ini akan menjadi alat sokongan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan untuk mengawal pengaliran oksigen dengan lebih baik dan mudah dikendalikan berbanding alat bantuan pernafasan biasa,” katanya.

Penyerahan mesin ventilator telah disempurnakan Nanta semasa pelaksanaan Program Bakul Makanan di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi kawasan Parlimen Kapit.

Tambah Nanta yang juga MP Kapit, SSM telah memperkenalkan 11 inisiatif pada tahun 2021 untuk membantu sektor perniagaan dan korporat berhadapan dengan situasi mencabar ketika ini.

Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan diharap dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh sektor korporat memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM. — DayakDaily

Advertisement