KPDNHEP menggubal perintah untuk mewajibkan penandaan logo ‘MS SIRIM’ atau ‘Ex’ pada tayar pneumatik, pasangan pelapik brek gantian motosikal

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 23 Mac: Tayar pnuematik dan pasangan pelapik brek gantian motosikal akan diwajibkan mempunyai penandaan salah satu logo ‘MS SIRIM’ atau ‘Ex’.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata penggubalan untuk memperluaskan perintah sedia ada kepada tayar pneumatik dan pasangan pelapik brek motosikal adalah dalam proses dan dijangka akan diwartakan pada tahun 2023.

Setakat ini, katanya, KPDNHEP telah mewajibkan semua pengilang dan pengimport tayar pneumatik dan pasangan pelapik brek gantian kereta mematuhi standard keselamatan barangan pengguna yang ditetapkan.


Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pnuematik) 2012, Malaysia telah mewajibkan bahawa penjualan tayar pnuematik kereta mempunyai salah satu daripada tiga logo penandaan keselamatan, antaranya ‘MS SIRIM’ daripada SIRIM Malaysia, ‘Ex’ (European Mark) di bawah European Economic Council (ECC) atau ‘DOT’ daripada Department of Transportation of United States of America.

Tambahnya lagi, melalui Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Pasangan Pelapik Brek Gantian) 2014, Malaysia juga mewajibkan pematuhan standard keselamatan barangan pengguna pada pasangan pelapik brek gantian dengan membuat penandaan salah satu logo iaitu ‘MS SIRIM’ atau ‘Ex’.

“Bagi kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan persendirian, pihak KPDNHEP sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan melalui sesi libat urus bersama pengguna, pihak industri dan agensi kerajaan berkaitan sebelum perintah mewajibkan penandaan ‘standard’ keselamatan ke atas kerusi keselamatan kanak-kanak digubal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta sedang menjawab pertanyaan Jerantut MP Dato Ahmad Nazlan Idris di Parlimen tentang inisiatif-inisiatif KPDNHEP dalam meningkatkan pematuhan ‘standard’ perlindungan dan keselamatan pengguna ke atas barangan seperti tayar motosikal dan kereta, brek motosikal dan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, Nanta menjamin bahawa KPDNHEP akan sentiasa memastikan pengilang dan pengimport mematuhi ‘standard’ keselamatan barang pengguna yang telah ditetapkan dalam perintah.

“Kesemua produk yang mempunyai logo penandaan berkaitan bermaksud produk tersebut telah melalui proses pengujian dan selamat digunakan,” katanya. — DayakDaily