KPDNHEP lancar Program ReDI di Market Teresang, Kapit

Nanta(dua dari kanan) bertemu peniaga di Market Teresang di Kapit pada Pelancaran ReDI.

KUCHING, 28 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Market Teresang, Kapit hari ini.

Program disempurnakan Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan bertujuan menggalakkan pemain industri sektor peruncitan bersama dalam teknologi transaksi pembayaran secara digital.

Ia melibatkan kerjasama KPDNHEP dengan Kerajaan Sarawak dan rakan strategik daripada penyedia e-wallet iaitu SarawakPay, Maybank, TouchnGo, GrabPay ShopeePay dan Boost.


“Inisiatif ReDI juga mendokong kerangka pelaksanaan MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara bagi sektor peruncitan dalam membantu komuniti peniaga berbagai peringkat melonjakkan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Sejak awal lagi Kementerian berpandangan bahawa peniaga ini perlu dibantu dalam dunia perniagaan digitalisasi sekurang-kurangnya melalui penggunaan e-wallet dan e-dagang yang meliputi pesanan, pembelian, pembayaran dan penghantaran,” kata Nanta yang juga MP Kapit.

Selain pelancaran REDI pada hari ini, pihak ShopeePay juga menyumbangkan sebanyak 20 kereta sorong kepada peniaga yang dikenalpasti layak dan bersesuaian di Sarawak.

Menurut Nanta, kerjasama ShopeePay bersama Kementerian adalah merupakan satu inisiatif yang memberikan peluang kepada peniaga kecil untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka dengan infrastruktur digital serta penjenamaan yang lebih menarik dan teratur.

Dalam pada itu, pihak Grab pula menyumbang RM200 000 kepada inisiatif tersebut yang akan digunakan untuk membantu menyediakan telefon pintar.

Ia juga termasuk insentif untuk PKS yang menerima pembayaran tanpa tunai dan juga promosi GrabPay khusus untuk menggalakkan pengguna membeli-belah dan menyokong PKS di Negeri Sarawak.

Bagi menyokong pelaksanaan program REDI tambah Nanta, kementerian menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan program sumbangan kepada kumpulan belia Kapit secara tanpa tunai.

Katanya, program ini melibatkan sumbangan sebanyak RM50 kepada lebih 400 orang belia dan boleh ditebus menggunakan aplikasi e-wallet terpilih.

“Sumbangan ini diharapkan dapat memberi galakan kepada belia di daerah Kapit supaya tidak ketinggalan mengikuti arus perkembangan teknologi digital,” ujar Nanta. —  DayakDaily