KUCHING, 14 Ogos: Kerajaan meneliti situasi dan menguruskan isu harga runcit Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran pada masa ini.
Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia diuruskan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi kepentingan pengguna.
KPDNHEP katanya sedang menjalankan libat-urus dan kajian kos dan harga serta bekalan alat ujian kendiri Covid-19 terhadap syarikat-syarikat yang telah dilesenkan.
Ini meliputi setiap rantaian pengedaran, pembekalan sehingga di peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.
“Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan harga runcit alat ujian kendiri Covid-19 pada harga yang bersesuaian supaya tidak membebankan pengguna.
“Kit ujian kendiri Covid-19 kini merupakan keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama tambah Nanta, pengguna diingatkan agar lebih berhati-hati dengan pembelian Kit Ujian Kendiri Covid-19 di pasaran.
Pengguna disaran membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan(MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/.
“Semakan adalah untuk merujuk senarai syarikat yang telah diluluskan oleh pihak MDA untuk mengedar dan menjual Kit Ujian COVID19 untuk kegunaan awam,” ujar Nanta. — DayakDaily