KPDNHEP hasilkan 901 kes dengan rampasan RM2,813,242.71 hingga 11 Nov

Kelihatan Tan (dua dari kanan) ketika beliau mengadakan 'walkabout' sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Depavali di Pasaraya Mydin Petrajaya, Kuching.

KUCHING, 12 Nov: Sejumlah 901 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan nilai rampasan bernilai RM2,813,242.71 berjaya dihasilkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak sejak 1 Januari sehingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata jumlah kes tersebut melibatkan pemeriksaan yang dilakukan ke atas 56,404 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

“Bagi tempoh tersebut juga, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun bernilai RM237,000 kepada peniaga-peniaga yang didapati melakukan aktiviti pencactutan harga barangan keperluan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, tiada situasi pembelian panik berlaku selain hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang keperluan adalah mencukupi dan mudah diperolehi.

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan di lakukan setiap hari oleh 178 orang pegawai penguatkuasa dan 102 pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh Sarawak.

Kelihatan Tan (dua dari kiri) ketika beliau mengadakan ‘walkabout’ sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Depavali di Pasaraya Mydin Petrajaya, Kuching.

Sementara itu, Tan berkata, sebanyak 20 jenis barangan disenaraikan sebagai barang kawalan harga sama ada di peringkat borong atau runcit sempena Sambutan Perayaan Depavali.

Ujarnya, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali dikuatkuasakan selama sembilan hari bermula 9 November hingga 17 November ini.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ketika pelaksanaan SHMMP.

“Kerajaan mewajibkan tanda harga merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu terbabit boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya; atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula, individu terlibat boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” tegas beliau. — DayakDaily