KPDNHEP gerakkan 2,262 anggota penguatkuasa pantau SOP diperketakkan

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 23 Mei: Seramai 2,262 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan digerakkan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diperketatkan.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.

Katanya, kementerian itu tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negera (MKN) untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang telah diperketatkan tersebut.


“Bagi memastikan SOP Sektor Perdagangan Pengedaran yang diperketatkan ini dilaksanakan dengan efektif, kementerian memohon semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran untuk memastikan SOP tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.

“Pemilik-pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri berkaitan langkah mengetatkan lagi perlaksanaan PKP 3.0 dan sekatan tambahan bagi sektor ekonomi semalam, KPDNHEP telah mengemaskini SOP Sektor Perdagangan Pengedaran PKP yang sedia agar ia selari dengan kehendak perlaksaan PKP terbabit.

Katanya, dalam situasi tersebut, kerajaan perlu mengambil langkah yang terbaik untuk mengimbangi di antara keperluan mengawal penularan Covid-19 dan kelangsungan ekonomi negara terutamanya kedudukan ekonomi domestik.

“Langkah ini sekiranya dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan kawalan kendiri daripada semua pihak boleh membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melandaikan lengkung kes Covid-19 dengan lebih cepat seterusnya dapat meneruskan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Menurut Nanta, menerusi SOP yang dikemaskinikan itu, waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan diantara jam 8 pagi hingga  8 malam bermula 25 Mei ini.

Bagaimanapun bagi kedai farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti Spa, ‘wellness’ dan perkhidmatan ‘manicure’ dan ‘pedicure’ akan dikekalkan antara jam 8 pagi hingga 10 malam.

Pada masa sama pemilik premis perniagaan diwajibkan untuk menghadkan jumlah pelanggan di dalam semua premis terlibat termasuk kompleks membeli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang pelangan bagi setiap empat meter per persegi.

“Selain itu, tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.

“Manakala, had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks membeli belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus,” katanya.

Tambah Nanta, sepanjang perlaksanaan PKP 3.0 itu juga, premis peruncitan termasuk pusat membeli belah yang tersenarai dibawah Sistem ‘Hotspot Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE)  yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh KKM akan ditutup serta mertaselama tiga hari.

Arahan penutupan sementara tersebut dilakukan bagi membolehkan proses dan kerja-kerja sanitasi di premis berkenaan dapat dilakukan.

“Kerjasama daripada semua pihak pada masa ini adalah amat penting bagi memastikan penularan Covid-19 ini dapat diatasi segera di samping dapat mengekalkan kelangsungan ekonomi negara.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdnhep.gov.my,” katanya. — DayakDaily