KPDNHEP berjaya selesai 98.2 peratus aduan

Nanta (tiga dari kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada salah seorang penerima di Kapit.

KUCHING, 28 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menyelesaikan 98.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 23,006 aduan setakat 31 Oktober 2021.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Luinggi berkata, ia melibatkan pelbagai jenis aduan dari seluruh negara.

“Aduan-aduan ini pula diterima dari saluran-saluran aduan yang disediakan oleh Kementerian.


“Daripada jumlah ini, 98.2 peratus aduan telah berjaya diselesaikan, dengan selebihnya masih dalam siasatan.

“Ini jelas menunjukkan tindakan proaktif Kementerian di dalam menyelesaikan pelbagai aduan daripada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian di Perasmian Majlis Penutupan Karnival Advokasi Kepenggunaan Bersama Belia Kapit anjuran Pejabat Daerah Kapit dengan KPDNHEP semalam.

Tambah Nanta, aduan dari kawasan pedalaman seperti Kapit juga tidak dipandang ringan.

Di Kapit sahaja katanya, sebanyak 14 aduan telah direkodkan yang merangkumi 8 aduan harga, 1 aduan barang kawalan, 2 aduan perkhidmatan mengelirukan, 1 aduan kenderaan bermotor dan 2 aduan transaksi di dalam talian.

Nanta yang juga MP Kapit yakin trend ini dijangka akan menunjukkan perubahan seiring dengan advokasi yang diadakan pihak kementerian.

Menurut beliau, Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNHEP telah menjadikan tahun 2021 sebagai tahun yang memfokuskan advokasi kepenggunaan kepada seluruh lapisan masyarakat dan bakal memperkenalkan jenama mereka sendiri kelak.

“Program advokasi ini akan melaksanakan program-program dan aktiviti penyampaian pendidikan yang boleh melahirkan pengguna berdayaupaya, tahu akan hak-hak mereka sebagai pengguna, celik akan undang-undang perniagaan dan akhirnya bijak berbelanja.

“Inilah tanggungjawab dan peranan bersama yang perlu kita galas, bukan sahaja bertujuan demi kerja semata-mata, tapi demi kebaikan rakyat sendiri dimana kita bantu mereka untuk mempertahankan hak sebagai pengguna,” ujar Nanta.

Pada karnival kali ini, pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan selama 2 hari dari 26-27 November 2021 melibatkan agensi-agensi di bawah KPDNHEP antaranya, Advokasi Kepenggunaan, IPexplorace, eSports, ceramah perniagaan dan lain-lain lagi.

Di majlis itu, Nanta juga menerima Sijil Cap Dagangan Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia daripada Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Abdul Haris Lakar.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Datuk Seri Hasnol Zam Zam dan Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan. — DayakDaily